Pagi tadi saya berpeluang menyinggah sepintas lalu ke lelaman facebook beberapa akhawat yang dekat dengan hati saya. Memang menjadi tabiat saya menyemak updates mereka sekali sekala. Dan memang menjadi tabiat saya juga untuk segera memangkah lelaman facebook ini sebaik sahaja habis urusan dan membaca updates serba sedikit, kerana saya tahu bahawa saya pasti akan berleha-leha kesana-kemari jika tidak memaksa diri untuk memangkahnya! Betapa banyak usia muda saya di tanah peti sejuk sana sudah saya bazirkan ketika jahiliah, tak mahu saya kembali membazir masa lagi melepak tanpa arah di internet sekarang. Kata orang tua-tua; "al wajibaat aktharu minal awqaat - sesungguhnya kewajiban lebih banyak dari waktu yang ada!".
Ouh, sambung cerita. Pagi tadi saya terbaca sebaris kata yang sangat catchy, tertera di lelaman salah seorang sahabat baik saya dalam dakwah dan kehidupan. Ia tertulis;
"CINTA takkan hadir sebelum PERCAYA."
Serahkan Hatimu..
Saya berjeda sebentar memikirkan ayat pendek itu. Betapa benar kata-kata ini. Cinta takkan hadir sebelum percaya. Sebagaimana cinta Allah takkan hadir sebelum percaya pada-Nya. Sebagaimana cinta kepada Rasulullah takkan hadir sebelum benar-benar mengimani kebenarannya. Sebagaimana cinta antara suami-isteri juga takkan hadir tanpa percaya mendahului rasa cinta. Betapa benar! Namun di balik semua kata-kata indah itu ada suatu perkara yang membuat hati saya gulana. Berdebar hati saya memikirkan betapa cinta dan percaya takkan pernah mungkir kepada sesamanya.
Cinta dan percaya seorang mutarabbi kepada murobbinya bukanlah suatu yang dipaksa, malah ia adalah rasa semulajadi yang hadir setelah suatu proses. Teringat kata-kata seorang akh ketika bertazkirah beberapa hari lepas, "kadang kita sebagai anak usrah ni tak perlu tunggu murobbi justify dengan reasons dulu untuk buat sesuatu yang dimintanya. Sebab boleh jadi jika kita tak percaya kepadanya, kita melambatkan gerak kerja dakwah," demikian tutur al akh itu dengan hati-hati. Serentak, serasa suatu renjatan elektrik mengalir deras ke jantung saya. Betapa banyak reasons yang pernah saya pinta, dan kadangkala betapa banyak saya sendiri perlu memberi kepada sang mutarabbi!
Semuanya Atas Dasar Percaya
Antara kita dan murobbi merupakan suatu hubungan atas dasar percaya. Suatu hubungan yang akan membenihkan cinta. Kerana apa? Kerana Murobbi adalah pemimpin, yang memulakan pimpinannya sedari unit-unit terkecil dalam binaan Islam- unit usrah. Di dalamnya kita berkenal-kenal, bermanja-manja, saling bersusah-senang, saling marah dan sayang, dan macam-macam lagilah. Di dalamnya kita mengenal murobbi sebagai bonda, yang menumpahkan perhatiannya dari atma paling dasar di hatinya. Mendidik, menyantuni, membentuk dan segala macam perbuatan yang menyenangkan hati. Tetapi jangan kita lupakan, seorang murobbi juga bertanggungjawab menegur, membetulkan, mengingatkan, dan apa saja yang jika tidak disertai rasa percaya kita sebagai mutarobbi, pasti akan membenihkan kehancuran ukhuwah. bayangkan betapa besar luka yang diukir apabila murobbi membuat teguran kepada sang mutarobbi yang tak bersedia menyerahkan hatinya.
Percayalah, semuanya atas dasar percaya. Murobbi membina diri mutarobbinya atas dasar percayakan bahawa sang mutarobbi telah menyerahkan hati untuk dibentuk. Mutarobbi pula menerima asuhan atas dasar mempercayai sang murobbi sebagai pendidik hati. Parah sekali apabila sang murobbi dan mutarobbinya saling sama kehilangan rasa percaya ini. Apalah erti menghadiri halaqah bertahun-tahun namun hatinya tidak langsung tertaut pada jambangan kepercayaan ini? Alangkah membazirnya usia kita, bila kita hadir ke halaqah-halaqah usrah sekadar untuk melepaskan rasa tanggungjawab semata.
Saudara teman dakwahku yang kucintai,
Ayuh kita semak semula, berapa banyakkah kita jumpa, ziarah atau paling tidakpun telefon atau sms murobbi kita sepanjang tempoh di luar usrah, berkenaan perkara-perkara selain hal usrah? Berapa banyakkah usaha kita menceriakan dan menguatkan ikatan hati sesama ahli usrah sepanjang kita berada dalam usrah selama ini? Dan sejauh manakah terbukanya hati kita untuk mencari, menelefon, menziarah, mabit, makan, masak, etc dengan sang murobbi? Mungkinkah sebenarnya kita membiarkan hati untuk mulai hilang percaya terhadap sang murobbi sedikit demi sedikit?
Kadangkala ia bermula dengan fikiran "ah, dia tentu sibuk untuk menjawab panggilanku", sedangkan tika itu mungkin sebenarnya ingatan sang murobbi sedang sibuk mengingatmu sambil menuliskan rencana halaqah untuk usrahmu. Seterusnya mungkin ia diteruskan dengan rasa"alahai, murobbi aku ni bukan peduli pun pada aku," sedangkan mungkin ketika itu sang murobbi sedang bicara dengan sahabatmu perihal kamu, tentang betapa gusarnya hati memikirkan hak tarbiyahmu.. Mungkin ada ketika kamu telah berfikir "ah, dia tu tak ada hak nak menilai aku." Namun tahukah kamu jika sang murobbi tidak diberikan hak untuk menilai kamu, lalu apalah gunanya tarbiyah? Bagaimana hendak kamu tahu sejauh mana tarbiyah telah memimpin kamu bila mana usrah dan baramij tarbawi semuanya dibuat sekadar mengisi masa dengan aktiviti, malah tak lebih dari itu... Jika sekadar ingin mengisi masa, apalah perlunya usrah? Mengapa payah mengalirkan sangkaan baik untuk dia yang mendidikmu?
Akan Kembali..
Bagi saya, adalah menjadi suatu perkara yang amat disyukuri apabila hati kita disentuh Allah untuk memberi kepercayaan kepada sang murobbi mendidik, menegur, menilai dan membina hati kita. Walau mungkin murobbi yang dikurniakan Allah untukmu bukanlah segah seorang ustaz atau sheikh, namun percayalah bahawa murobbi ialah suatu kurnia. Mencintai kurnia Allah yang ini memerlukan kamu untuk memulakannya dengan PERCAYA! Kerana jika kau gagal mencintainya, percayalah bahawa kau akan gagal dicintai mutarobbimu sendiri.
Sumber : Teacher Sofi
Johor